Rabu, 02 November 2011

Tasawuf 20 Bagaimana mengimbangi Antara Dunia Dengan Akhirat

Dalam kitab ada menyebut bahawa Hadis Rasulullah SAW ada memberitahu:

Maksudnya: Bukanlah kebaikan itu orang yang meninggalkan dunianya kerana Akhiratnya dan tidak juga orang yang meninggalkan Akhiratnya kerana dunianya sehinggalah memperoleh kedua-duanya sekali. (Riwayat Ibnu Asakir)

Oleh kerana ada Hadis menyebut seperti di atas, maka lumrahlah orang bercakap termasuk orang yang cinta dunia dan bergelumang dengan dunia. Bahkan semua golongan bercakap tentang ini. Maklumlah dunia itu mudah manusia cenderung kepadanya apatah lagi apabila ada hujah dan dalilnya pula, lagilah ada alasan mereka memburunya tanpa memikirkan panduan dan guidelinenya. Mereka buru dunia semahu-mahunya, tidak kira cara mana dan bagaimana.

Di antara cakap-cakap yang selalu kita dengar dan baca samaada di pentas-pentas dakwah, di majlis-majlis ceramah, di pentas-pentas politik, di dalam majlis-majlis pengajian, di dalam bualan harian, melalui TV, surat khabar, majalah dan lain-lain lagi seperti berikut:

  • Dunia pun kita hendak, Akhirat pun kita hendak.

  • Janganlah tinggalkan dunia kerana Akhirat. Begitulah juga jangan tinggalkan Akhirat kerana dunia. Tuhan suruh kita mengambil kedua-duanya sekali iaitu dunia dan Akhirat.

  • Akhirat memanglah kita tidak boleh nafikan tapi kita kan tinggal di dunia sekarang, hendak fikir juga tentang dunia.

  • Akhirat, Akhirat juga. Dunia, dunia juga. Jangan lupa kedua-duanya.

  • Kalau kita tidak ada harta dunia, Akhirat kita pun tidak sempurna. Habis bagaimana hendak berzakat, kalau kita tidak ada harta?

  • Kalau kita tidak ada harta, bagaimana hendak naik haji.

  • Bagaimana hendak membuat kebaikan kalau tidak ada duit.

  • Ambillah dunia, tapi jangan sampai lupa Akhirat.

  • Dia itu asyik ibadah sahaja, apa anak isteri hendak makan?

  • Ibadah, ibadahlah. Bekerja kena juga untuk mencari rezeki.

  • Siapa hendak memberi makan anak isteri?

Dia itu sama naik. Dunia pun dia buru, Akhirat juga dia buru. Ada yang bercakap lebih hebat lagi dan memeranjatkan kita,Dia itu walaupun penari atau pelacur tapi dia sembahyang.

Inilah di antara kata-kata yang kita dengar daripada yang diucapkan oleh orang kampung hinggalah orang bandar, pendakwah, tok-tok guru, alim ulama, penceramah, ahli-ahli politik,ahli-ahli ekonomi, pembesar-pembesar dan lain-lain lagi.Apabila kita mengambil kedua-duanya sekali barulah seimbang kata mereka.

Bagi orang yang gila dunia, cakap-cakap macam tadi sudah cukup memberangsangkan dan sudah memadailah untuk dijadikan hujah dan dalil untuk memburu dunia tanpa lagi memikirkan bagaimana caranya, bagaimana syarat-syaratnya, cara mengambil kedua-duanya sekali itu bagaimana. Pada mereka cakap-cakap itu sudah memuaskan hati. Tidak ada yang mengelirukan lagi. Maka mereka burulah dunia dengan tidak fikir halal dan haram. Tidak memikirkan cara mana dan bagaimana yang dibenarkan. Yang penting buatlah apa cara asalkan mendapat keuntungan.

Tuhan kan menyuruh kita mencari kekayaan? Asalkan jangan tinggalkan sembahyang! Bulan puasa, kita puasalah. Sampai masa nanti kita naik haji sudahlah.

Bagi orang yang hendak mencari kebenaran yang mahukan kedua-duanya, juga masih terkeliru. Ucapan-ucapan itu masih bersifat umum. Mereka masih bingung kerana huraiannya tidak ada. Takkan begitu sahaja. Mesti ada cara-caranya. Mesti ada syarat-syaratnya. Mesti ada panduannya.

Akhirat itu Akhirat yang macam mana? Dunia pun dunia yang macam mana.Itulah pendirian orang yang ikhlas dan ingin cari kebenaran. Mereka tidak menolak pandangan yang berpendapat bahawa dunia Akhirat itu kenalah diambil kedua-dua sekali. Tapi cakap macam itu pada mereka masih belum boleh lagi untuk dijadikan tindakan. Takut nanti terjatuh ke dalam kesalahan. Mereka mahu penjelasan. Mereka mahukan panduan. Mereka memerlukan huraian. Mengambil keduanya secara melulu, itu bukan ajaran Islam.

Islam mesti ada peraturan mengenai kedua-duanya. Islam adalah ajaran yang indah, selamat menyelamatkan. Mengambil kedua-duanya mesti ada caranya. Bila melaksanakannya, menyenangkan.Tidak ada was-was lagi.Kalau kita ingin menganalisa dan membaca kehendak-kehendak mereka yang tersirat daripada cakap-cakap mereka,seolah-olah pada mereka mengambil dunia atau Akhirat itu, iaitu mengambil kedua-duanya sekali ialah:

Kita carilah dunia sebanyak mana pun, tak usah fikir halal dan haram. Tak usah fikir bagaimana caranya. Buatlah apa sahaja dan buatlah cara mana pun asalkan mendapat keuntungan. Tapi jangan tinggal sembahyang, puasa, zakat, naik haji bila mampu.Itulah yang dimaksudkan dengan kehendak Hadis itu. Iaitu dunia kena buat, Akhirat pun kena buat. Kita carilah dunia tapi agama jangan ditinggalkan. Carilah kekayaan, buatlah kemajuan.Buatlah pembangunan tapi jangan tinggal sembahyang dan lain-lain seperti yang telah disebutkan tadi.

Kalau kita terima begitu saja pandangan mereka itu, ia adalah amat merbahaya. Ia keliru dan mengelirukan. Kita akan terjatuh nanti ke lembah kesesatan.Kita memang disuruh mengimbangkan di antara dunia dan Akhirat. Bahkan kita wajib menerima bahawa dunia dan Akhirat itu mesti seimbang. Kalau tidak seimbang di antara dunia dan Akhirat atau agama dan dunia, kita akan terjebak kepada kesalahan dan kesilapan yang besar. Di waktu itu agama akan rosak,dunia juga akan rosak. Oleh itu keseimbangan di antara kedua-duanya amat perlu sekali.

Badan manusia contohnya, kalau makan minum tidak seimbang, iaitu jenis-jenis apa yang dimakan untuk keperluan dan kesihatan tubuh, nescaya badan tidak akan sihat. Ia akan menimbulkan masalah kepada badan. Badan akan berpenyakit. Mungkin macam-macam penyakit yang akan menyerangnya.

Begitulah juga mesti ada keseimbangan di antara dunia dengan Akhirat atau di antara agama dengan dunia. Kalau tidak, pasti akan berlaku kerosakan. Oleh itu keseimbangan di antara dunia dan Akhirat perlu diperjuangkan agar dunia selamat, Akhirat pun selamat. Memang agama Islam itu kalau dapat difaham dan mampu mengamalkannya,ia akan membawa keselamatan dunia dan Akhirat.

Di sinilah keistimewaan ajaran Islam yang tiada pada agama lain.Apabila kita telah boleh menerima bahawa dunia Akhirat mesti seimbang atau agama dan dunia itu mesti seimbang, bagai mana hendak mengimbangkannya? Apa maksud seimbang di antara dunia dan Akhirat?

Apakah maksud seimbang di sini?Kalau menurut ukuran benda, kalau satu sama-sama satu. Kalau dua, sama-sama dua. Atau kalau ia jenis yang hendak diukur untuk dibagi seimbang, kalau satu kaki hendaklah kita bahagi sama-sama enam inci. Atau kalau dua orang yang berkongsi berniaga mengeluarkan modal yang sama banyaknya, kemudian apabila mendapat untung dua ratus ringgit maka kenalah setiap orang mendapat seratus ringgit.

Atau kalau barang yang hendak ditimbang yang berat satu kati maka batu mengimbangnya mesti satu kati juga beratnya. Barulah ia seimbang. Ya! Kalau berlaku kepada alam benda sama alam benda, yang sama jenis seperti yang disebutkan di atas maka kita boleh terima dan mesti terima. Ukuran panjang kalau hendak dibahagi, mestilah sama-sama panjang. Jangan ada yang lebih, ada yang kurang.Ia jadi tidak seimbang. Kalau jenis timbang mestilah sama beratnya, begitulah seterusnya.

Tapi, apakah seimbang di antara dunia dengan Akhirat itu sama seperti ukuran benda-benda tadi? Kalau kita kata ya, tanggapan itu adalah salah kerana dua perkara yang hendak diseimbangkan ini tidak sama sifatnya. Dunia adalah alam syahadah atau alam benda atau alam fizik. Sedangkan Akhirat pula adalah alam ghaib yang masanya tidak berkesudahan atau tidak terbatas.Alam syahadah iaitu dunia ini masanya terhad atau terbatas atau ada kesudahan.

Agama bersifat maknawiah dan rohaniah sedangkan dunia bersifat maddiah iaitu fizikal dan material. Maknawiah dan rohaniah dapat ditangkap dan dirasa oleh akal dan jiwa atau roh, sedangkan dunia yang bersifat maddiah itu dirasa oleh mata dan sentuhan lahir. Ia bersifat hissiah.

Kalau begitu kedudukannya, kedua-duanya tidak sama. Dua perkara yang tidak sama ini hendak diseimbangkan, mana boleh diukur mengikut hukum logik atau mengikut teori ilmu akal atau ilmu mantik. Kalau kita lakukan juga, ia adalah sangat tidak tepat. Ia satu kesalahan besar. Satu kesilapan yang akan membawa kerosakan yang besar sekali. Ia akan merosakkan peranan agama itu sendiri.

Oleh itu hendak mengimbangkan di antara dunia dengan Akhirat atau di antara agama dengan dunia, kenalah berhati-hati.Dunia ada campur tangan manusia, tapi agama, manusia tidak boleh campur tangan langsung. Ia adalah hak mutlak Allah Taala. Oleh itu sekali lagi saya katakan berhati-hatilah.

Jadi, apa maksud seimbang di sini? Dan bagaimana hendak mengimbangkan di antara dua perkara yang berlainan sifatnya itu? Adakah ia terasing di antara satu sama lain? Atau satu sama lain itu terserap?

Kalau kedua-duanya bersifat material atau fizikal tentu boleh nampak. Tapi satu bersifat material, nampak dan boleh dirasa dan satu lagi bersifat maknawiah dan rohaniah, tidak nampak oleh mata dan tidak dapat dirasa oleh sentuhan kerana ia bukan bersifat hissiah. Kalau nampak atau dapat dilihat adalah mudah dan senang untuk menyukat setakat mana yang dikatakan seimbang itu.

Pada pandangan dan pendapat saya, erti seimbang di antara dunia dan Akhirat atau di antara agama dengan dunia itu ialah:Setiap usaha atau perjuangan yang hendak dibangunkan yang bersifat material atau fizikal seperti aspek pembangunan,ekonomi, kebudayaan, ketenteraan, pertanian, perhubungan dan lain-lain lagi, hendaklah Islam sebagai pendisiplinnya atau ia tidak boleh lari daripada diikat dengan tauhid dan syariat Islam atau Islam menjadi penyelarasnya.

Sebagai contoh, kita membangunkan projek mestilah mengikut syarat-syarat di bawah iaitu:

  1. Niat membangunkannya atau tujuan projek itu dibuat hendaklah kerana Allah Taala, yang mana Allah Taala menyuruh membuat untuk kepentingan manusia.

  2. Perkara yang hendak dibuat itu memang dibenarkan atau diharuskan oleh Islam seperti membuat jalan raya atau bangunan pejabat. Bukan membuat bangunan tempat judi atau tempat arak atau untuk tari-menari di antara lelaki dan perempuan.

  3. Perlaksanaannya mesti betul. Contohnya, duit untuk membangunkan projek daripada hasil yang halal, jangan berlaku rasuah di situ atau bahan-bahannya mesti halal.

  4. Membangunkan projek itu jangan sampai tertinggal ibadah yang asas iaitu jangan sampai tertinggal atau terabai Rukun Islam yang lima, terutamanya sembahyang lima waktu. Ertinya jangan pula kerana pembangunan, tertinggal sembahyang.

  5. Digunakan secara betul seperti kegunaan untuk pejabat, tempat sembahyang, tempat pendidikan, tempat mesyuarat, benteng pertahanan, untuk tetamu, tempat perniagaan dan lain-lain lagi yang jelas tidak bercanggah dengan Islam.

Lima syarat tadi itulah agamanya atau Islamnya atau Akhiratnya.Ia telah menjadi pendisiplin di dalam membangunkan dunia tadi, iaitu projek tersebut. Jadi pada dunia tadi ada Akhiratnya, yakni lima syarat itu. Dunia tadi telah beragama atau dengan kata-kata lain projek-projek dunia tadi telah jadi Islam atau telah diislamkan kerana projek yang bersifat dunia itu telah menerima syarat-syarat yang Islam kehendaki.

Kalau begitulah kedudukannya, projek-projek tadi telah menjadi dunia dan Akhirat. Itulah juga agama, dan itu juga dunia. Maka orang yang berusaha membangunkan projek itu dapat dua keuntungan, iaitu keuntungan dunia dan keuntungan Akhirat. Dunia maju kerana projek tadi dapat dimanfaatkan di dunia lagi. Manakala di Akhirat diberi pahala dengan Syurga kerana mengikut lima syarat itu. Ini lebih-lebih lagi untung iaitu keuntungan yang maha besar lagi kekal abadi.

Jadi kalaulah kita faham ajaran Islam, tidak prejudis dengannya,mahu bersungguh-sungguh mengamalkannya dan kita jadikan Islam sebagai pengawal, maka apalah yang hendak ditakutkan dengan Islam. Nanti kalau ikut Islam, mundur. Kita akan ketinggalan, kita tidak maju.

Fikiran begitu sepatutnya tidak timbul kerana mengikut ajaran Islam, dunia yang kita bangunkan itu, benda yang satu juga. Itulah juga yang hendak jadi dunia sahajakah, atau itu jugalah yang hendak jadi kedua-duanya sekali iaitu dunia dan Akhirat.

Apabila lima syarat tadi jadi pendisiplin, jadilah usaha kita itu tidak kira di aspek mana, ia menjadi dunia Akhirat. Bukan terpisah. Bukan terasing seperti yang difahami oleh ramai umat Islam. Maka seimbanglah sudah di antara dunia dan Akhirat atau agama dengan dunia.

Jika sekiranya lima syarat tadi tidak diambil kira, usaha kita itu jadi dunialah semata-mata. Kalaupun tidak ada unsur-unsur yang membawa dosa tapi sayanglah dan rugilah usaha kita itu kerana tidak mendapat pahala apa-apa. Hanya mendapat untung di dunia sahaja. Tidak sampai mendapat keuntungan di Akhirat. Maka tidak seimbanglah usaha kita itu. Hanya jadi dunia semata, tidak jadi Akhirat sama. Oleh yang demikian maka timbul, ambil dunia tinggal Akhirat, ambil Akhirat tinggal dunia.Sedangkan perkaranya satu, kecuali ibadah asas. Apa yang saya perkatakan itu cukuplah saya datangkan satu contoh. Kalau kita faham, kiaskanlah sahaja usaha-usaha dan perjuangan kita itu di aspek-aspek yang lain.

Artikel ini adalah bagian dari buku Buah Fikiran Siri 1 yang berisi buah fikiran dan ilham dari Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi


0 komentar:

Posting Komentar

Daftar ke PayPal dan mulai terima pembayaran kartu kredit secara instan.
Bookmark and Share
Dari Suhaib ra, bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Sungguh menakjubkan perkaranya orang yang beriman, karena segala urusannya adalah baik baginya. Dan hal yang demikian itu tidak akan terdapat kecuali hanya pada orang mu'min: Yaitu jika ia mendapatkan kebahagiaan, ia bersyukur, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan yang terbaik untuknya. Dan jika ia tertimpa musibah, ia bersabar, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan hal terbaik bagi dirinya." (HR. Muslim)